Wednesday, November 24, 2010

Ibadah Korban

Berkorban hukumnya sunat muakkadah, iaitu sunat yang dituntut ke atas mereka yang mengerjakan haji, juga mereka yang tidak mengerjakan haji. Hukum ini menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar untuk berbuat demikian. Ketika itu haram baginya memakan daging korban yang dinazarkan itu.
Waktu menyembelih korban ialah dengan terbitnya matahari pagi Hari Raya Haji (korban) sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu pada hari yang kesebelas, dua belas dan tiga belas Zulhijjah.
Binatang yang boleh dijadikan korban ialah unta, lembu, kerbau, kibas atau kambing biasa. Binatang yang paling utama untuk dibuat korban ialah unta. Sekiranya seseorang itu tidak berupaya untuk mengeluarkan belanja membelinya, ia boleh berkorban menyembelih lembu, kemudian baru kambing, kibas atau kambing biasa.
Berkorban tujuh ekor kibas adalah lebih utama daripada menyembelih seekor unta. Seekor unta, kerbau atau lembu boleh dikongsi oleh tujuh orang, biarpun niat mereka yang berkongsi itu berbeza, seperti untuk berkorban, untuk akikah anak yang baru dilahirkan atau semata-mata untuk memakan dagingnya.
Walaupun demikian, seekor kibas atau kambing biasa hanya boleh dikorbankan oleh seorang sahaja. Korban seekor kambing itu adalah lebih utama daripada berkorban seekor unta yang dikongsi tujuh orang.
Dalam sebuah hadis, daripada Jabir r.a, ia berkata, bahawa kami pernah melakukan korban bersama Rasulullah s.a.w. pada tahun Hudaibiah dengan seekor unta untuk tujuh orang dan seekor sapi untuk tujuh orang.
Binatang yang hendak dikorbankan itu mesti berumur lima tahun masuk ke enam tahun, manakala lembu dan kerbau mesti berumur dua tahun masuk ke tiga tahun. Kambing dan kibas pula mesti berumur setahun atau telah tanggal dua batang gigi hadapannya, biarpun ia mungkin berumur belum sampai setahun, tetapi gigi yang tanggal dan berganti dengan gigi yang baru itu mesti berlaku ketika binatang itu telah berumur enam bulan.
Binatang korban mesti sempurna dan tidak cacat, tidak bertelinga misalnya, ataupun terpotong sebahagian daripada telinganya, biarpun sedikit. Tidak terpotong ekor atau lidahnya, tidak gila atau binatang yang tidak makan rumput yang menyebabkan ia kurus dan kurang dagingnya atau yang berkudis biarpun sedikit, kerana ini boleh merosakkan dagingnya, ataupun yang baru beranak, yang buta, biarpun hanya sebelah matanya bukan terdiri daripada binatang yang jelas sakit, yang tempang teruk biarpun tempang itu terjadi ketika dibaringkan untuk disembelih.
Dalam sebuah hadis daripada al-Barra’ bin Azib r.a, daripada nabi, baginda ada bersabda yang bermaksud: Empat cacat pada binatang yang tidak sempurna untuk dijadikan korban, iaitu buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, pincang yang nampak rusuknya dan kurus yang tidak gemuk.
Sesetengah ulama menyatakan bahawa binatang bunting tidak boleh disembelih untuk korban kerana kurang dagingnya. Perlu dijelaskan bahawa kecacatan boleh menyebabkan binatang berkenaan tidak sempurna untuk dijadikan binatang korban.
Walaupun sekiranya seseorang itu bernazar dan melibatkan binatang yang mempunyai kecacatan yang dijelaskan atau binatang yang masih belum cukup umur, maka korban itu boleh dilakukan, malah wajib menyembelihnya.

Adalah memadai menyembelih binatang korban yang tidak bertanduk, yang patah tanduknya, yang terbelah telinga, yang berlubang sekiranya hal tersebut tidak menyebabkan kehilangan sesuatu daripada bahagian anggota tersebut, yang tidak berekor, tidak bergigi, patah gigi, juga binatang yang tidak mempunyai zakar, yang dikasikan.
Ada lima perkara disunatkan ketika hendak menyembelih, iaitu menyebut Bismillah, membaca selawat nabi, menghadap Kiblat, membaca takbir, berdoa semoga Allah s.w.t. menerima korban yang dilakukan.
Dalam sebuah hadis daripada Aishah dan Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah menyembelih korban dua ekor kibas yang gemuk-gemuk dan besar, putih dan bertanduk yang dikasikan, lantas Rasulullah menyembelih seekor daripadanya lalu bersabda: Ya Allah, daripada Muhammad dan umatnya dan orang yang menyaksikan keesaan-Mu dan menyaksikan tablighku (penyampaianku).
Daging
Haram memakan daging korban yang dinazarkan, begitu juga hukumnya ke atas tanggungan orang yang berkenaan. Dagingnya wajib disedekah dalam keadaan mentah, termasuk kulit dan tanduk. Andainya orang yang berkenaan memakan sebahagian daripada daging binatang yang dinazarkan, ia wajib menggantikannya.
Sunat memakan daging korban biasa (sunat). Dan yang paling utama, ia hendaklah memakan hatinya. Menurut pendapat ulama yang asah, orang yang berkorban hendaklah bersedekah dengan daging yang masih mentah kepada fakir miskin agar boleh dipelbagaikan, termasuk menjualnya.
Adalah memadai bersedekah biarpun hanya kepada orang miskin, yang melibatkan daging yang sedikit. Paling utama ialah bersedekah semua daging kepada fakir miskin, kecuali mengambil sebahagian kecil daripadanya untuk keberkatan.
Pembahagian juga boleh dilakukan dengan membahaginya kepada tiga bahagian, satu pertiga untuk diri dan keluarganya, satu pertiga lagi untuk orang-orang kaya, manakala satu bahagian lain pula untuk fakir miskin.
Daging korban tidak boleh disedekahkan kepada fakir miskin kafir zimmi. Begitu juga orang fakir atau miskin Islam yang menerima sedekah daging korban atau orang kaya yang menerima hadiah daging korban, tidak boleh (haram) memberi daging tersebut kepada kafir zimmi.
Adalah haram lagi tidak sah manjual sesuatu daripada binatang korban seperti daging, bulu atau kulit, ataupun dijadikan upah bagi orang yang menyembelih binatang berkenaan, tetapi tidak haram sekiranya ia diberi kepada orang yang menyembelih atas nama sedekah.
Akikah juga melibatkan sembelihan binatang yang sama dengan korban, tetapi amalan ini dikaitkan dengan kelahiran bayi sebagai tanda bersyukur dan untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t
Hukumnya juga sunat muakkadah. Ia disunatkan ke atas mereka yang wajib memberi nafkah ke atas tanggungannya (furuk) dengan harta yang miliknya, bukan daripada harta bayi yang baru dilahirkan. Akikah boleh dilakukan sebaik-baik sahaja bayi dilahirkan, tetapi masa yang paling utama ialah pada hari yang ketujuh selepas kelahiran.
Adalah lebih baik binatang yang diakikahkan itu terdiri daripada dua ekor kibas, atau dua pertujuh bahagian unta atau lembu sekiranya bayi itu lelaki. Akikah bagi bayi perempuan ialah seekor kambing atau sebahagian daripada unta.
Tuntutan melakukan akikah tidak luput biarpun bayi yang dilahirkan itu meninggal dunia sebelum tujuh hari. Tuntutan untuk melakukan akikah tetap berlaku biarpun kanak-kanak berkenaan telah baligh. Apabila ini berlaku, dia hendaklah membuat akikah untuk dirinya sendiri.
Segala hukum yang berkaitan dengan akikah, jenis binatang, tentang umur, niat dan cara sedekah sama dengan hukum korban. Walaupun demikian, tidak wajib bersedekah sembelihan akikah dengan daging yang mentah.

Sunat membacakan azan pada telinga kanan dan iqamat pada telinga kiri bayi, sebaik-baik sahaja ia dilahirkan, juga dibacakan inna anzalna pada telinga kanannya. Mudah-mudahan, dengan berbuat demikian, kanak-kanak itu tidak akan terlibat dengan perbuatan zina untuk selama-lamanya.
Rambut bayi, lelaki atau perempuan hendaklah dicukur pada hari ketujuh setelah melakukan sembelihan akikah. Kemudian rambut itu ditimbang, disamakan dengan berat emas atau perak dan bersedekah kepada fakir miskin, berdasarkan kepada nilai emas atau perak menurut kemampuan.
Sunat menamakan bayi pada hari yang ketujuh, biarpun ia meninggal dunia sebelum berumur tujuh hari. Sunat juga memberi nama pada anak yang gugur yang sudah ditiupkan roh padanya. Andainya tidak diketahui jantinanya, ia hendaklah diberi nama yang bersesuaian, seperti Talhab, Hindun dan sebagainya.
Persoalan setakat mana perlunya ibadah korban dan akikah itu dilakukan, ia bergantung kepada penghayatan seseorang terhadap ajaran Islam itu sendiri.
Setiap amalan yang diwajibkan, tidak kira jenisnya, ia mempunyai kebaikan pada diri pengamal, keluarga, masyarakat dan sebagainya.
Manakala hukum pengharaman sesuatu itu dikenakan, ia ada kaitan dengan kemudaratan yang berlaku andainya ia dilakukan, seperti perbuatan zina, makan riba, mencuri, merogol, rasuah dan sebagainya. Pemahaman seperti ini sewajarnya wujud dalam pemikiran setiap orang.
Saya mengambil contoh mudah, sunat membaca azan di telinga kanan bayi yang baru dilahirkan dan diiqamat pada telinga kiri. Rasulullah s.a.w menjelaskan sekiranya diperlakukan demikian, bayi tersebut akan terhindar daripada gangguan ‘ummu s-sibyan’ iatu satu golongan iblis yang kerjanya mengganggu bayi. Sekiranya ini akan berlaku, kemungkinan besar bayi tersebut akan sakit, tidak tidur malam, menangis tidak berhenti-henti, menyebabkan demam panas, kekejangan dan sebagainya.
Hukum-hukum atau saranan seperti ini sering difahami secara luaran semata-mata, iaitu bayi yang baru dilahirkan sunat diazan seperti dijelaskan. Lantaran kita tidak mengetahui kebaikan atau rahsia daripada amalan sunat tersebut, kita sering memandang ringan dan tidak melakukannya.
Sekiranya kita memahami fadilat atau keperluan diperlakukan sedemikian, kita akan membaca azan dan iqamat seperti yang diperjelaskan. Di situlah terletaknya keperluan kajian dan penghayatan terhadap sesuatu hukum yang dijelaskan.








Batu 8, Changloon. Hari Raya Korban.